Tabah Mengharung Duka. Bhg 1.
Hujan
masih belum berhenti, hari semakin petang dan tidak lama lagi malam pula akan
menjelma. Aku mesti pulang sebelum hari bertukar menjadi malam, isteri dan
anak-anak aku pastinya akan risau menunggu di rumah. Air hujan telah memenuhi
halaman pondok dimana aku sedang berteduh dari hujan. Pancaran kilat diiringi
dentuman guroh yang kuat membuatkan aku rasa takut. angin pula bertiup kencang
membuatkan pondok berderak seperti hendak roboh.
Aku
tabahkan hati dan berdoa agar hujan segera berhenti supaya aku dapat keluar
dari kawasan kebun getah yang tiada berpenghuni. Tidak ada manusia lain selain
aku di pondok itu, pondok peninggalan arwah bapa aku yang telah usang dan
condong. Atap yang dibuat dari daun bertam sudah bocor di sana-sini, dinding
dan lantainya dari buloh sudah mereput dimakan anai-anai.
Bahagian
serambi yang masih kukuh itu membolehkan aku duduk bersila di lantai buloh
menunggu hujan berhenti sambil melihat air hujan menghanyutkan daun-daun kering
dan ranting kayu ke kawasan parit yang pernah digunakan oleh arwah bapa aku
sebagai parit memelihara ikan air tawar walau pun parit itu kecil tapi boleh
memuatkan 20-30 ekor berbagai jenis ikan.
Biasanya
bila hujan begini parit itu akan dipenuhi air dan akan terus mengalir ke kawasan
tasik buatan manusia yang tidak jauh dari pondok ini. Ketika itulah ikan dari
tasik akan mudik menyusuri parit dan akan terperangkap di situ kerana arwah
bapa telah membuat injap seperti injap bubu. Kini semua itu tinggal kenangan
buat aku kerana bapa telah kembali menemui Ilahi.
Hujan
masih belum berhenti lagi perasaan aku semakin resah, aku mula terbayang wajah
isteri dan anak-anak di rumah, mungkin mereka juga resah menunggu kepulangan
aku. Aku mendongak ke langit sambil berdoa supaya hujan cepat berhenti dan
memberi laluan untuk aku keluar dari kawasan kebun getah yang sunyi serta
menggerunkan.
Hasil
torehan hari ini telah hanyut di bawa bersama air hujan yang turun secara
tiba-tiba. Aku sememangnya tidak menyangka hujan akan turun petang ini kerana
sejak aku keluar dari rumah pukul 2.00 petang tadi, cuaca sangat cantik, tidak
ada tanda-tanda hujan akan turun, mungkin hari ini tidak ada rezeki untuk aku.
Beginilah
nasib penoreh getah yang bergantung hidup kepada keadaan cuaca, jika cuaca baik
dapatlah hasilnya, jika tidak samalah seperti hari ini, lebih dari separuh yang
telah aku toreh hanyut dibawa air hujan dan esok mungkin ada harapan untuk aku
mencuba lagi.
Aku
mengalihkan pandangan aku kearah jalan keluar yang sempit dan dipenuhi lalang
kiri dan kanan, jalan kecil untuk laluan motor itu kini dipenuhi dengan air
hujan mengalir deras seperti air sungai layaknya. Malam pula semakin hampir
menjegah dan siang semakin berangsur menghilang. Suara katak mula membingitkan
telinga seolah-olah menghalau aku keluar dari kawasannya, keluar dari pondok
usang yang telah meninggalkan seribu kenangan dalam hidup aku.
Pondok
inilah tempat tinggal bapa dan ibu aku suatu ketika dahulu. Ketika itu aku dan
isteri merantau ke Negeri Kedah dan hampir 8 tahun aku dan isteri menetap di
sana. Aku bekerja sebagai buruh kontrek ketika itu di sebuah daerah yang
bernama Kodiang. Setiap kali cuti aku pasti pulang menemui bapa dan ibu di
sini.
Bapa
aku telah membeli tanah ini yang berkeluasan 3 ekar dari seorang kawannya hampir
10 tahun yang lalu, tanah kosong yang dipenuhi lalang jauh kependalaman dan
jauh dari perkampungan. Bapa membina sebuah pondok sederhana besarnya dari kayu
hutan, beratapkan daun bertam, berdinding dan berlantaikan buloh.
Aku
dapat bayangkan betapa susahnya untuk mendapatkan kayu hutan dan buloh walaupun
tidak jauh dari kawasan ini. Bermula dari menebang dan membawanya ke sini dari
hutan. Menebang buloh di hutan yang bukan sedikit bilangannya untuk dijadikan
dinding dan lantai, mencari daun bertam serta mengayamnya satu persatu untuk
dijadikan atapnya, dengan kudrat yang tinggal sedikit kerana dimamah usia,
berkat kesabarannya maka terbinalah pondok ini, pondok yang hampir roboh
menyembah bumi setelah ditinggalkan bertahun lamanya.
Pondok
ini mula ditinggalkan setelah bapa meninggal dunia, manakala ibu aku bawa
tinggal bersama aku di tanah rancangan Felda, hampir 30 km dari pondok ini. Aku
datang ke sini setiap petang untuk mencari pendapatan tambahan dengan mengambil
upah menoreh di kebun orang yang tidak jauh dari pondok ini.
Aku
harus meneruskan kehidupan dengan menggalas tanggung jawab yang diamanahkan
kepada aku dengan tabah. Setiap pagi aku akan bekerja di tanah rancangan hingga
jam 1.30 petang dengan pendapatan RM7.00 sehari. Selepas makan tengah hari aku
akan ke sini seorang diri mencuba nasib menoreh getah pokok tua pada sebelah
petang.
"Ahh,
tak boleh jadi ni, aku mesti keluar dari sini juga…", bisik hati kecil
aku.
Hujan
masih belum berhenti lagi tapi memandangkan hari semakin menghampiri malam aku
terpaksa pulang dengan meredah hujan. Aku turun dari serambi pondok dengan
perlahan dan terus mendapatkan motor yang aku letakkan di tepi pondok supaya
tidak basah bila hujan kerana kusyen motor aku sudah koyak tapi sebaliknya
motor aku basah kuyup.
Aku
angkat kusyen motor aku untuk mengambil baju hujan yang biasanya aku letak di
bawah kusyen tapi malangnya tidak ada di situ. Aku termenung sejenak untuk
mengingati semula di mana aku letakkan baju hujan itu.
"Tertinggal
di rumah pulak…", bisik hati kecil aku.
Aku
menghidupkan motor Honda 70 c terpakai yang aku beli secara berhutang 2 bulan
yang lalu supaya mudah aku bergerak ke sana ke mari terutamanya untuk bekerja.
Setiap bulan aku mesti menyediakan wang RM85.40 sen untuk membayar ansuran motor.
Bagi aku motor sangat penting kerana tempat kerja aku terlalu jauh dari rumah
samada aku bekerja di tanah rancangan atau menoreh di sini pada sebelah petang.
Walau
pun jumlahnya cuma RM85.40 sen tapi bagi aku jumlah itu terlalu besar dan sukar
untuk disediakan pada setiap bulan. Apa yang aku harapkan ialah jika aku dapat
menoreh, harapkan pendapatan dari tanah rancangan mungkin aku tidak termampu
kerana belanja rumah dan anak sekolah pun selalu tidak mencukupi.
Aku
mula bergerak perlahan meninggalkan pondok itu dengan menyusuri jalan sempit
yang hampir ditutupi lalang dalam hujan yang masih lebat. Kilat sabung
menyabung diiringi dentuman guruh yang menggerunkan. Malam sudah mula mengganti
siang, aku terus bergerak untuk keluar dari jalan sempit dalam kebun getah menuju
jalan raya yang masih jauh.
Aku
teruskan perjalanan dengan meredah hujan tapi bila tiba disatu kawasan paya,
aku mula tergamam kerana kawasan paya itu sudah dinaiki air menyebabkan titi
kecil yang dibuat dari sekeping papan tebal telah dihanyutkan air entah ke
mana. Aku tongkatkan motor tanpa mematikan injennya dan aku cuba mencari
kalau-kalau papan itu ada tersangkut di mana-mana. Dalam samar-samar aku
meninjau-ninjau di kawasan semak beberapa ela dari situ.
Aku
sudah mula kesejukkan, badan aku sudah basah kuyup kerana hujan yang turun
semakin lebat, tidak ada tanda-tanda akan berhenti. Nasib aku baik kerana aku
menemui papan itu tersangkut dirimbunan pokok keduduk, aku segera mencapai dan
aku letakkan di tempat asalnya iaitu sebagai titi untuk menyeberangi parit
kecil seluas 4 kaki.
Hari
sudah menjangkau malam, dengan cepat aku mendapatkan motor aku, injinnya masih
hidup kerana aku inginkan cahaya lampu untuk menemani aku. Pacat dan nyamuk
bermaharaja lela, membaham tubuhku semahunya tanpa ada rasa belas kasihan, yang
penting mereka mesti menghisap darah aku.
Aku
sudah biasa dengan pacat dan nyamuk tapi aku tidak membenarkan mereka menghisap
darah aku sesuka hatinya jika aku sedar pasti ia akan mati di tangan aku. Dalam
keadaan aku sedang cemas, dalam keadaan aku kesejukkan, pacat dan nyamuk sempat
mengisi perutnya dengan darah aku dan meninggalkan bekas gigitan pacat yang
masih mengalirkan darah dibahagian kaki, perut dan tengkok aku.
Aku
teruskan perjalanan dengan melintasi titi itu dan menaiki bukit dengan jalan
yang becak dan licin. Tayar belakang motor berpusing ligat tanpa menggerakkan
motor, aku terpaksa menolak dengan kaki supaya motor aku boleh bergerak sedikit
demi sedikit mendaki bukit. Jalan raya sudah kelihatan tapi masih jauh lagi,
aku berusaha menolak dengan kaki aku untuk cepat sampai di jalan raya.
Deruan
hujan tenggelam dek deruan enjin motor aku yang mengaum dengan kuat, tayar
belakangnya berputar laju tapi bergeraknya cuma sedikit itu pun atas bantuan
kedua kaki aku. Tubuh aku yang tadinya kesejukkan kini sudah terasa panasnya.
Bau hangit dari injin motor mula menyusuk lubang hidung aku.
Aku
cuba sedaya upaya untuk tiba di jalan raya dengan harapan injen motor tidak
meragam, cuma beberapa meter saja lagi. Di tepi jalan raya ada 3 buah rumah
jika aku mengalami masalah dengan motor boleh juga aku minta bantuan dari
penghuninya. Penghuni rumah itu sememangnya sudah mengenali aku jadi tidaklah
merasa malu.
Setelah
aku menggunakan seluruh tenaga aku, akhirnya aku sampai juga di tepi jalan
raya. Barulah aku merasa lega sedikit tapi perjalan aku masih jauh lagi hampir
30 km dari sini. Aku mesti pulang juga malam ini, isteri dan anak-anak mungkin
sedang menunggu di rumah dengan perasaan bimbang.
Dalam
hujan aku bergerak perlahan, lampu motor agak malap sedikit namun aku teruskan
juga perjalanan. Air hujan yang mengenai muka amat memedihkan, badan yang
tadinya panas sudah mula kesejukkan semula. Jalan raya ini sunyi sepi, di kiri
dan kanannya hanya kebun getah, jarang-jarang ada rumah orang.
Tidak
lama kemudian aku tiba di satu persimpangan, di situ banyak rumah-rumah orang
yang diterangi oleh cahaya lampu letrik dan jalan raya juga tidak sunyi kerana
ada kenderaan yang menggunakan jalan ini walau pun jarang-jarang sekali aku
berselisih dengan kenderaan lain, namun aku merasa lega kerana aku tidak
bersendirian.
"Kenapa
malam ni tak ada kereta lalu…? Hujan agaknya…" Aku bertanya pada diri
sendiri dan aku juga yang menjawabnya.
Sebenarnya
ini bukanlah pertama kali aku pulang pada waktu malam tapi sudah beberapa kali,
cuma malam ini sahaja aku pulang malam dalam hujan lebat. Biasanya aku pulang
sekitar pukul 6.30 petang cuma kadang-kadang aku terlewat sedikit, biasalah,
jika awal aku datang, awallah aku pulang.
Seingat
aku hampir sebulan aku berulang-alik dari rumah ke pondok itu, ini adalah kali
5 aku pulang malam dan kali pertama pulang malam dalam keadaan hujan lebat.
Dalam keadaan begini aku berharap motor aku tidak meragam injennya, tidak bocor
tayarnya. Aku rela basah kuyup, aku, aku sanggup menahan kesejukkan asalkan aku
selamat sampai ke rumah.
Keadaan
jalan yang bengkang-bengkok membuatkan aku sentiasa berhati-hati, bimbang
kalau-kalau ada pokok tumbang yang menghalang jalan raya. Bimbang jika ada babi
hutan melintas jalan yang tidak sempat aku elak. Aku juga risau dalam hujan
begini ada gajah melintasi jalan raya tapi aku berdoa agar tidak dipertemukan
dengan itu semua.
Hampir
separuh perjalanan, aku mula melihat cahaya kenderaan dari arah belakang
menerangi malam. Aku terus memandu dengan perlahan tapi kali ini aku kena
ketepi sedikit, bimbang dilanggar oleh kenderaan yang sedang aku lihat cahaya
lampunya. Sebaik sahaja kereta itu melintasi aku, tiba-tiba pandangan aku
menjadi gelap, motor aku jadi terhuyung-hayang seketika tapi dapat dikawal
semula.
Hujan
masih lebat, bunyi guruh sahut menyahut, sekali-sekala kilat sabung menyabung,
pancarannya menerangi jalan raya buat seketika. Aku terus memandu motor aku
dalam keadaan kesejukkan, tubuh makin kuat menggigil. Aku sentiasa meletakkan
kaki aku di atas injen motor, dengan cara itu kesejukkan badan dapat
dikurangkan.
Kini
aku sudah memasuki kawasan kampung, aku menggunakan jalan kecil kerana jalan
ini adalah jalan pintas untuk sampai ke tanah rancangan. Jalan kampung ini agak
sempit sedikit, jika 2 buah kereta berselisih maka salah satu kena berhenti
untuk memberi laluan. Jalan ini juga agak gelap dan sunyi, tambah lagi di waktu
malam dan hujan, sudah tentu tidak ada orang yang menggunakan jalan ini.
Jalan
ini kerap digunakan oleh penduduk tanah rancangan pada waktu siang untuk ke
pekan kecil berhampiran kampung ini. Jalan ini juga sering ada gangguan makhluk
halus, itu menurut cerita-cerita orang tanah rancangan, benar atau tidak
Waullahhualam. Benar atau tidak aku sudah mula rasa takut.
"Silap
aku masuk jalan ini, kalau ikut jalan tanah rancangan kan bagus", Bisik hati
aku dengan seribu sesalan.
Diwaktu
malam begini jalan kampung ini terlalu sunyi tambahan pula hujan, tentu tidak
ada orang yang melalui jalan ini. Rumah-rumah kampung sudah aku lalui, kini aku
berdepan dengan jalan sempit dan dikiri-kanannya adalah belukar, kebun getah
yang semak tidak dijaga. Aku tabahkan hati dan berdoa agar tidak bertemu dengan
apa yang telah diceritakan oleh orang.
Aku
pandu motor aku dengan perlahan, cahaya dari lampu motor yang kekuningan
membuatkan penglihatan aku menjadi kurang jelas, ditambah lagi dengan titisan
hujan yang memasuki mata aku. Aku mengusap muka beberapa kali bagi mengelak air
hujan terus memasuki mata aku.
"Eh
kenapa ni?", Kata hati aku setelah merasakan motor aku menjadi
gelong-gelong.
Aku
terpaksa berhenti di tengah jalan yang sunyi dan melihat apa sudah jadi dengan
motor aku, mungkin tayarnya bocor. Aku meraba tayar belakang dan memicik,
sahlah tayar belakang sudah tidak ada angin lagi. Terpaksalah aku berjalan kaki
dengan menuntun motor dalam keadaan injennya masih hidup untuk mendapatkan
cahaya lampu. Aku gunakan gear satu supaya senang aku bergerak. Hujan masih
belum reda, tubuh yang tadinya menggigil kesejukkan kini mula terasa panas.
Cahaya kilat yang
menyambar bumi dan guroh seperti halilintar membuatkan aku berjalan lebih
cepat. Sekali-sekala aku menoleh kebelakang, bimbang kalau ada yang mengekori
aku dan yang paling aku risaukan ialah jika ada yang menumpang duduk di motor
aku. Bermacam-macam yang bermain difikiran aku, mana tahu dalam hujan lebat,
hari pun sudah malam, entah pukul berapa sekarang. Aku bertambah cemas dan
bertambah takut.
Bila
aku sampai disatu selekoh tepian sungai, tiba-tiba bulu tengkuk aku meremang.
Aku menoleh kanan dan kiri serta tidak lupa juga menoleh kebelakang walau pun
aku tahu dimalam begini pandangan aku terhad. Bila aku memandang semula
kehadapan, aku terlihat kelibat orang berlari pantas secepat kilat melintasi jalan
serta melintasi lampu motor yang tidak berapa terang.
Aku
terpaku seketika, aku suloh menggunakan lampu motor dengan memusingkan handle
kearah belukar di tepi sungai. Aku kuatkan injen motor supaya lampu menjadi
terang sedikit. Aku masih berdiri di situ, kaki aku terasa berat untuk
melangkah pergi. Tidak ada apa yang dapat aku lihat melainkan semak samun.
Mungkin
cuma perasaan aku sahaja, maklumlah dalam keadaan takut macam-macam yang aku
fikirkan. Aku teruskan perjalanan sambil menuntun motor, kali ini agak cepat aku berjalan. Mata aku
liar memandang kiri dan kanan tak lupa juga belakang, mana tahu tiba-tiba dia
terconggok atas motor aku?
Aku
berlari-lari anak untuk melepasi kawasan sunyi dengan cepat, enttah mengapa
tidak ada seorang pun yang lalu ketika ini, mungkin hujan agaknya. Aku rasa
malam masih awal lagi tapi entah pukul berapa. Kini aku rasa lega sedikit
kerana aku dapat melepasi kawasan sunyi walau pun aku agak penat sedikit.
Tiba
di kawasan penempatan pegawai, aku tambah lega kerana rumah-rumah pegawai
diterangi dengan lampu elektrik yang menggunakan genarator. Lampu nion yang
malap di jalan besar tidak bertar membuatkan aku hilang rasa takut tapi tidak
sepanjang jalan cuma ada tiga batang tiang dan satu sahaja yang menyala.
Selepas
itu aku bergelap semula kerana kawasan penempatan rumah pegawai cuma enam buah
sahaja. Lampu nion telah aku tinggalkan,
kini aku cuma mengharapkan lampu motor aku yang malap untuk mengelakkan
lecah di jalan. Satu lagi kawasan yang membuat aku risau untuk melintasinya.
Aku percaya kawasan seperti itu bukan aku seorang sahaja yang takut.
Aku
tiba di kawasan perkuburan, walau pun masih baru tapi sudah ada penghuninya,
tak sampai seminggu lagi penghuni itu disemadikan. Aku berhenti seketika bila aku menghampiri kawasan perkuburan itu
untuk berfikir sejenak apa yang perlu aku lakukan. Kalau tidak kerana aku
menuntun motor ini pastinya aku akan berlari untuk melintasi kawasan kubur yang
berada didepanaku sekarang.
Aku
mendapat satu idea, sebenarnya aku boleh berlari sambil menuntun motor aku
dengan cara memasukkan gear 2. Dengan lafas bismilah aku memulakan genggaman
pada handle motor, kini aku sudah bersedia untuk berlari seperti pelari pecut
layaknya. Belum pun bermula, tengkuk aku sudah meremang kerana terbayang jika
ada yang mengejar aku kelak atau dia terconggok di depan.
"Ah
pedulikan", bisik hati kecil aku, apa pun terjadi aku mesti melintasi
kawasan itu, aku mesti sampai ke rumah cepat. Sedang aku berfikir tiba-tiba
dentuman guruh memeranjatkan aku, dengan tidak sengaja aku terpulas minyak
motor dan dengan pantas juga aku berlari seiring dengan motor. Aku rasa lega
kerana dapat melepasi kawasan kubur dengan pantas walau pun aku kepenatan yang
amat sangat kerana mendaki bukit.
Badan
aku berpeluh walau pun dalam hujan, nafas aku menjadi kencang. Aku berhenti
seketika untuk memulihkan tenaga yang telah hilang. Rumah-rumah peserta sudah
kelihatan tapi cahaya lampu agak suram kerana menggunakan pelita minyak tanah.
Penghuninya mungkin sedang berehat atau mungkin juga ada yang sudah tidur
dibuai mimpi, hanya aku sahaja yang masih di jalanan bermain dengan hujan.
Setelah
tenaga aku pulih, aku berjalan semula sambil menuntun motor tapi kali ini aku
berjalan menaiki bukit. Enjen motor masih hidup dalam gear satu, minyak ku
pulas perlahan agar aku dapat berjalan seiring dengan motor. Hujan belum reda,
sekali-sekala kilat menyambar bumi di iringi guroh kadang kuat kadang perlahan.
Aku tidak kedinginan malahan tubuh ku terasa panas, tenaga pun sudah
berkurangan.
Aku
tabahkan hati walau pun kaki ku sudah terasa sakit dan lengoh-lengoh. Rumah ku
sudah semakin hampir kerana aku sudah menghampiri masjid. Itulah masjid di
tempat aku yang masih serba kekurangan, tidak ada hamparan permaidani yang
indah, sejadah masih tidak mencukupi walau pun ada lampu letrik yang bersambung
dari rumah pegawai.
Aku
terus berjalan dengan melintasi masjid itu dan deretan rumah-rumah peserta
tanah rancangan yang sepi seperti tidak berpenghuni. Deruan hujan seperti
menutupi pendengaran mereka, tanpa mereka sedari bunyi injen motor aku yang
melintasi rumah mereka. Aku dan mereka masih baru disini, aku dan mereka masih
belum mesra, aku dan mereka hanya tersenyum bila bertemu. Tibanya aku di satu
selekoh, aku akan menuruni bukit pula, nasib baik break tangan masih berfungsi
jika tidak tentulah sukar bagi aku. Lampu motor menjadi malap sedikit kerana
aku perlahankan injennya. Dari cahaya kilat yang memancar dapat membantu aku
untuk melihat lubang-lubang di jalan.
Hati
aku mula rasa gembira kerana aku sudah menghampiri rumah ku, tentunya isteri
aku juga akan gembira dengan kepulangan aku. Anak-anak tentunya sudah tidur
lena, selalunya mereka tidur awal setiap malam lebih-lebih lagi bila hujan
begini. Aku tahu, isteri aku tentunya merasa takut bila hujan beserta guruh
yang kuat, ditambah pula dengan kilat sabung menyabung seperti ingin membelah
bumi.
Apakan
daya, ini bukan kehendak aku untuk pulang lambat, aku harap isteri ku dapat
kuatkan semangat dan bersabar dengan ujian ini. Aku membelok ke kanan dan
menaiki bukit semula dan di situlah rumah ku. Tiba di halaman rumah, aku terus
menolak motor aku kebahagian belakang rumah.
Malam itu aku merasakan kedinginan
yang amat sangat, tubuh aku menggigil seperti demam malaria. Isteri aku
menghulurkan secawan kopi panas untuk meredakan kesejukan. Anak-anak aku sudah
lena dibuai mimpi, entah apa yang dimimpikannya.
Di
luar hujan masih belum reda, sesekali kedengaran dentuman guroh yang
mengejutkan tidur anak-anak aku. Aku cuma tersenyum melihat gelagat anak sulong
aku yang ketakutan dengan menutup telinganya dengan bantal. Anak kedua aku
tidur nyenyak seperti tidak ada apa-apa berlaku begitu juga dengan anak yang
ketiga,yang keempat pula lena dalam dakapan ibunya.
Setelah
menghabiskan secawan kopi, aku baringkan tubuh disisi isteri aku, kehangatan
mula terasa, tubuh aku yang tadinya menggigil kesejukkan kini semakin reda,
digantikan kesakitan seluruh tubuh. Kaki aku pun mula terasa kelenguhannya
terutama di bahagian tumit dan lutut aku. Tangan aku dibahagian bahu juga
terasa sakit, aku memicit-micit bahu kiri dan kanan untuk menghilangkan rasa
lengguh.
Deruan
hujan masih kedengaran seolah-olah tidak mahu berhenti, pastinya esok tidak ada
peluang untuk aku pergi menoreh petang. Bulan puasa sudah semakin hampir, pastinya
hari raya akan menjelma jua. Persiapan untuk bulan ramadhan perlu disediakan,
anak-anak aku suka juadah berbuka puasa. Tahun ini nampaknya susah juga
menyambut hari raya, hendak beli baju baru untuk aku sendiri rasanya hampa,
untuk isteri dan anak-anak akan aku usahakan. Tahun lepas aku dapat sediakan
baju raya untuk anak dan isteri tapi duit raya tidak dapat aku sediakan.
Hari
raya adalah hari yang paling gembira buat anak-anak yang belum mengerti erti
kehidupan. Samalah seperti aku semasa kecil dahulu, masa itu aku teringin
hendak memakai pakaian baju melayu siap bersamping dengan kain songkit tapi
tidak kesampaian kerana ibu dan bapa aku tidak mampu hendak menyediakan pakaian
seperti itu. Ketika itu aku masih bersekolah darjah 5 lagi.
Ketika
aku darjah 6, aku merasa juga berpakaian melayu pada hari raya puasa tapi tidak
bersamping dengan kain songkit cuma bersamping dengan kain pelikat bapa aku.
Baju melayu aku, ibu sediakan dengan menjahit sendiri di rumah dengan
menggunakan mesin jahit lama yang dipusing menggunakan tangan. Itulah baju raya
aku untuk 4 kali raya dalam 2 tahun. Aku sangat kagum bila melihat mereka yang
memakai pakaian melayu bila tiba hari raya, siap bersamping dan bersongkok,
tambah segak bila berkasut kulit. Zaman aku dahulu cuma berselipar jepun
sahaja. Itulah yang termampu disediakan oleh ibu dan bapa aku kerana kehidupan
aku sekeluarga dalam kesusahan.
Zaman
aku kecil dahulu, makanan juga sukar diperolehi, bukan kerana tidak ada makanan
tapi kerana tidak ada duit untuk membelinya. Bulan puasa adalah bulan yang
paling gembira buat aku kerana setiap kali tiba bulan puasa, ibu akan
menyediakan berbagai jenis kueh untuk berbuka puasa, dengan syarat, aku mesti
berpuasa, jika didapati aku tidak berpuasa, jangan harap aku boleh makan
bersama. Aku diarahkan supaya duduk di luar ketika ibu dan bapa aku berbuka.
Aku
pernah mencuri makan ketika aku berpuasa tapi dilihat oleh nenek. Aku tidak
sedar nenek memerhatikan aku ketika aku sedang makan kueh yang tak habis
semalam di belakang rumah. Nenek membiarkan aku menghabiskan kueh yang sedang
aku makan. Selepas itu, tiba-tiba sahaja nenek datang dengan membawa satu jag
air lalu dihulurkan kepada aku.
"Nah,
minum bagi habis", suara nenek dengan garang sekali.
Aku terpinga-pinga
bercampur ketakutan tapi masih diam membisu. Nenek segera mengambil ranting
kayu dan mengarahkan aku supaya menghabiskan satu jag air. Aku hanya mampu
minum setengah jag sahaja, itu pun perut aku sudah sakit kerana terlalu banyak
minum air. Bakinya aku tuang ke tanah, nenek tambah berang lalu memukul aku
berkali-kali dengan ranting kayu ditangannya. Aku menjerit meminta ampun dan
berjanji tak buat lagi. Ibu dan bapa aku cuma melihat sahaja hukuman yang
dikenakan kepada aku. Selepas peristiwa itu aku tidak berani lagi mencuri-curi
makan dibulan puasa. Ketika mereka berbuka puasa, aku duduk di luar menunggu
kalau-kalau ada kueh lebih.
Begitulah
aku di zaman kanak-kanak yang membuat aku tersenyum bila teringat kembali
peristiwa itu dan akan menjadi kenangan buat aku sepanjang hayat. Akan aku jaga
anak-anak aku dengan baik, yang terdaya oleh ku. Tapi, dengan keadaan kehidupan
aku yang begini, mampukah aku menyediakan segala keperluan mereka? Inilah yang
sedang bermain difikiran aku, dengan keadaan aku yang serba kekurangan. Aku
tidak mempunyai pekerjaan tetap, harta jauh sekali, namun aku hanya
bersandarkan impian di tanah rancangan ini. Impian yang suatu hari nanti
keadaan hidup aku sekeluarga akan menjadi lebih baik dari sekarang. Impian yang
masih jauh di hadapan.
Menurut
cerita orang, jika kita berbakti di tanah rancangan, hidup kita akan senang
kemudian hari. Kemudian hari? Kemudian hari itu mungkin hari tua aku atau mungkin
untuk anak cucu aku? Jika umur aku masih ada, sempatlah aku merasai kesenangan
yang diimpikan. Jika roh dan jasad aku terpisah sebelum aku sempat merasai
kesenangan itu, ternyatalah impian itu untuk anak cucu aku.
"Kalau
kamu masuk tanah rancangan tu, hidup kamu akan senang," kata kawan aku.
"Kamu
dapat 10 ekar tanah dan sebuah rumah," tambah kawan aku lagi.
Itulah
yang aku harapkan dan itu jugalah yang menjadi impian aku, kerana aku tidak
mempunyai rumah sendiri, tanah untuk dijadikan sumber pendapatan bagi menyara
isteri dan anak-anak aku, yang ada cuma tulang empat kerat sahaja, itu pun jika
aku masih sihat dan aku sentiasa mengharapkan agar aku sihat. Aku masih baru di
sini, baru setahun lebih, masih jauh lagi untuk mencapai impian itu.
Hujan
masih belum berhenti, entah pukul berapa sekarang, mata aku masih belum mahu
tidur lagi. Seluruh badan aku mula terasa sakit-sakit, betis aku terasa
lenguh-lenguh akibat berjalan kaki tadi. Aku mengalihkan tubuh ke kanan dalam
keadaan mengiring di atas tikar buruk yang sudah koyak dibucunya. Aku mencapai
jam meja kecil di tepi dinding. Aku lihat jarum jam hampir menunjukkan ke pukul
2 pagi.
Aku
letakkan semula jam itu di tempatnya, kemudian aku mengalihkan tubuhku dalam
keadaan terlentang semula, tangan kiri aku letakkan di dahi. Esok aku kena
bangun awal, andainya aku terlambat untuk roll call, aku tidak boleh bekerja
hari itu dan gaji untuk hari itu juga tidak ada. Semua peserta tanah rancangan
dibayar RM7.00 sehari, dari jam 6.00 pagi hingga jam 1.30 tengah hari. Selepas
makan tengah hari, aku akan ke kebun untuk menoreh sebelah petang. Tapi esok petang
mungkin tidak ada peluang bagi aku kerana hujan masih belum berhenti sejak dari
petang tadi lagi. Inilah yang merunsingkan fikiran aku, yang menyebabkan aku
tidak boleh tidur.
Isteri
dan anak-anak aku sudah berada di alam mimpi, mereka sudah lama tidur lena
seperti tidak ada apa yang perlu difikirkan walau pun beralaskan tikar buruk,
bantal yang sudah koyak sarungnya di sana-sini. Aku mengalihkan tubuhku ke
kanan semula sambil menarik selimut untuk menutupi tubuhku yang mula
kesejukkan. Entah mengapa mata aku ini susah hendak tidur malam ini. Entah
mengapa fikiran aku jauh melayang, memikirkan masa lampau yang sepatutnya tidak
hadir lagi. Aku pejamkan mata, dengan harapan akan terlena sebelum siang
menjelma. Deruan hujan masih kedengaran ditelingaku, sekali-sekala kedengaran
dentuman guroh.
Aku
mengalihkan badan aku dalam keadaan terlentang semula sambil memejamkan mata
untuk meluruskan kaki aku yang kian lenguh. Rasa lega sedikit bila dapat
meluruskan kaki, lenguh betis pun rasa berkurangan, kalau ada minyak angin boleh
juga aku sapu pada betis aku.
"Wahai
mata, kenapa tidak mahu tidur", aku mengeluh.
Mungkin
malam ini aku akan berjaga lagi seperti malam tiga hari yang lepas, aku berjaga
hingga siang hari. Boleh dikatakan kerap terjadi tidak boleh tidur seperti
malam ini. Adakah ini satu penyakit? Mungkin ya, mungkin tidak, aku pun tidak
pasti. Yang aku tahu, ketika fikiran aku terlalu memikirkan sesuatu, yang aku
tidak pernah menjemputnya. Risau, runsing, datang secara tiba-tiba.
Akan disambung...