Friday, March 28, 2014

Kisah Seram Zaman Kecil

Gambar sekadar hiasan (foto google)

Pawang Ali Sabar


Bapa saya seorang yang pendiam tapi mempunyai sedikit kebolehan mengubati orang yang terkena rasuk atau yang terkena gangguan makhluk halus, mungkin ilmu yang diwarisi dari bapa angkatnya sebab setahu saya, bapa angkatnya (datok angkat saya Ali Sabar) terkenal dengan gelaran Pawang Ali Sabar

Sunday, March 16, 2014

Al Kisah...


Kambing Hijau
Di sebuah kampung yang agak terpencil dari kesibukkan bandar. Penduduknya kebanyakkannya dari selatan Thai yang bekerja mengambil upah menoreh getah. Ada diantaranya sudah menetap lama di kampung itu dan telah beranak pinak,

Tabah Mengharung Duka. (BHG: 1)


Tabah Mengharung Duka. Bhg 1.

            Hujan masih belum berhenti, hari semakin petang dan tidak lama lagi malam pula akan menjelma. Aku mesti pulang sebelum hari bertukar menjadi malam, isteri dan anak-anak aku pastinya akan risau menunggu di rumah. Air hujan telah memenuhi halaman pondok dimana aku sedang berteduh dari hujan. Pancaran kilat diiringi dentuman guroh yang kuat membuatkan aku rasa takut. angin pula bertiup kencang membuatkan pondok berderak seperti hendak roboh.

            Aku tabahkan hati dan berdoa agar hujan segera berhenti supaya aku dapat keluar dari kawasan kebun getah yang tiada berpenghuni. Tidak ada manusia lain selain aku di pondok itu, pondok peninggalan arwah bapa aku yang telah usang dan condong. Atap yang dibuat dari daun bertam sudah bocor di sana-sini, dinding dan lantainya dari buloh sudah mereput dimakan anai-anai.

            Bahagian serambi yang masih kukuh itu membolehkan aku duduk bersila di lantai buloh menunggu hujan berhenti sambil melihat air hujan menghanyutkan daun-daun kering dan ranting kayu ke kawasan parit yang pernah digunakan oleh arwah bapa aku sebagai parit memelihara ikan air tawar walau pun parit itu kecil tapi boleh memuatkan 20-30 ekor berbagai jenis ikan.

            Biasanya bila hujan begini parit itu akan dipenuhi air dan akan terus mengalir ke kawasan tasik buatan manusia yang tidak jauh dari pondok ini. Ketika itulah ikan dari tasik akan mudik menyusuri parit dan akan terperangkap di situ kerana arwah bapa telah membuat injap seperti injap bubu. Kini semua itu tinggal kenangan buat aku kerana bapa telah kembali menemui Ilahi.

            Hujan masih belum berhenti lagi perasaan aku semakin resah, aku mula terbayang wajah isteri dan anak-anak di rumah, mungkin mereka juga resah menunggu kepulangan aku. Aku mendongak ke langit sambil berdoa supaya hujan cepat berhenti dan memberi laluan untuk aku keluar dari kawasan kebun getah yang sunyi serta menggerunkan.

            Hasil torehan hari ini telah hanyut di bawa bersama air hujan yang turun secara tiba-tiba. Aku sememangnya tidak menyangka hujan akan turun petang ini kerana sejak aku keluar dari rumah pukul 2.00 petang tadi, cuaca sangat cantik, tidak ada tanda-tanda hujan akan turun, mungkin hari ini tidak ada rezeki untuk aku.

            Beginilah nasib penoreh getah yang bergantung hidup kepada keadaan cuaca, jika cuaca baik dapatlah hasilnya, jika tidak samalah seperti hari ini, lebih dari separuh yang telah aku toreh hanyut dibawa air hujan dan esok mungkin ada harapan untuk aku mencuba lagi.

            Aku mengalihkan pandangan aku kearah jalan keluar yang sempit dan dipenuhi lalang kiri dan kanan, jalan kecil untuk laluan motor itu kini dipenuhi dengan air hujan mengalir deras seperti air sungai layaknya. Malam pula semakin hampir menjegah dan siang semakin berangsur menghilang. Suara katak mula membingitkan telinga seolah-olah menghalau aku keluar dari kawasannya, keluar dari pondok usang yang telah meninggalkan seribu kenangan dalam hidup aku.

            Pondok inilah tempat tinggal bapa dan ibu aku suatu ketika dahulu. Ketika itu aku dan isteri merantau ke Negeri Kedah dan hampir 8 tahun aku dan isteri menetap di sana. Aku bekerja sebagai buruh kontrek ketika itu di sebuah daerah yang bernama Kodiang. Setiap kali cuti aku pasti pulang menemui bapa dan ibu di sini.

            Bapa aku telah membeli tanah ini yang berkeluasan 3 ekar dari seorang kawannya hampir 10 tahun yang lalu, tanah kosong yang dipenuhi lalang jauh kependalaman dan jauh dari perkampungan. Bapa membina sebuah pondok sederhana besarnya dari kayu hutan, beratapkan daun bertam, berdinding dan berlantaikan buloh.

            Aku dapat bayangkan betapa susahnya untuk mendapatkan kayu hutan dan buloh walaupun tidak jauh dari kawasan ini. Bermula dari menebang dan membawanya ke sini dari hutan. Menebang buloh di hutan yang bukan sedikit bilangannya untuk dijadikan dinding dan lantai, mencari daun bertam serta mengayamnya satu persatu untuk dijadikan atapnya, dengan kudrat yang tinggal sedikit kerana dimamah usia, berkat kesabarannya maka terbinalah pondok ini, pondok yang hampir roboh menyembah bumi setelah ditinggalkan bertahun lamanya.

            Pondok ini mula ditinggalkan setelah bapa meninggal dunia, manakala ibu aku bawa tinggal bersama aku di tanah rancangan Felda, hampir 30 km dari pondok ini. Aku datang ke sini setiap petang untuk mencari pendapatan tambahan dengan mengambil upah menoreh di kebun orang yang tidak jauh dari pondok ini.
            Aku harus meneruskan kehidupan dengan menggalas tanggung jawab yang diamanahkan kepada aku dengan tabah. Setiap pagi aku akan bekerja di tanah rancangan hingga jam 1.30 petang dengan pendapatan RM7.00 sehari. Selepas makan tengah hari aku akan ke sini seorang diri mencuba nasib menoreh getah pokok tua pada sebelah petang.

            "Ahh, tak boleh jadi ni, aku mesti keluar dari sini juga…", bisik hati kecil aku.
            Hujan masih belum berhenti lagi tapi memandangkan hari semakin menghampiri malam aku terpaksa pulang dengan meredah hujan. Aku turun dari serambi pondok dengan perlahan dan terus mendapatkan motor yang aku letakkan di tepi pondok supaya tidak basah bila hujan kerana kusyen motor aku sudah koyak tapi sebaliknya motor aku basah kuyup.

            Aku angkat kusyen motor aku untuk mengambil baju hujan yang biasanya aku letak di bawah kusyen tapi malangnya tidak ada di situ. Aku termenung sejenak untuk mengingati semula di mana aku letakkan baju hujan itu.

            "Tertinggal di rumah pulak…", bisik hati kecil aku.

            Aku menghidupkan motor Honda 70 c terpakai yang aku beli secara berhutang 2 bulan yang lalu supaya mudah aku bergerak ke sana ke mari terutamanya untuk bekerja. Setiap bulan aku mesti menyediakan wang RM85.40 sen untuk membayar ansuran motor. Bagi aku motor sangat penting kerana tempat kerja aku terlalu jauh dari rumah samada aku bekerja di tanah rancangan atau menoreh di sini pada sebelah petang.

            Walau pun jumlahnya cuma RM85.40 sen tapi bagi aku jumlah itu terlalu besar dan sukar untuk disediakan pada setiap bulan. Apa yang aku harapkan ialah jika aku dapat menoreh, harapkan pendapatan dari tanah rancangan mungkin aku tidak termampu kerana belanja rumah dan anak sekolah pun selalu tidak mencukupi.

            Aku mula bergerak perlahan meninggalkan pondok itu dengan menyusuri jalan sempit yang hampir ditutupi lalang dalam hujan yang masih lebat. Kilat sabung menyabung diiringi dentuman guruh yang menggerunkan. Malam sudah mula mengganti siang, aku terus bergerak untuk keluar dari jalan sempit dalam kebun getah menuju jalan raya yang masih jauh.

            Aku teruskan perjalanan dengan meredah hujan tapi bila tiba disatu kawasan paya, aku mula tergamam kerana kawasan paya itu sudah dinaiki air menyebabkan titi kecil yang dibuat dari sekeping papan tebal telah dihanyutkan air entah ke mana. Aku tongkatkan motor tanpa mematikan injennya dan aku cuba mencari kalau-kalau papan itu ada tersangkut di mana-mana. Dalam samar-samar aku meninjau-ninjau di kawasan semak beberapa ela dari situ.

            Aku sudah mula kesejukkan, badan aku sudah basah kuyup kerana hujan yang turun semakin lebat, tidak ada tanda-tanda akan berhenti. Nasib aku baik kerana aku menemui papan itu tersangkut dirimbunan pokok keduduk, aku segera mencapai dan aku letakkan di tempat asalnya iaitu sebagai titi untuk menyeberangi parit kecil seluas 4 kaki.

            Hari sudah menjangkau malam, dengan cepat aku mendapatkan motor aku, injinnya masih hidup kerana aku inginkan cahaya lampu untuk menemani aku. Pacat dan nyamuk bermaharaja lela, membaham tubuhku semahunya tanpa ada rasa belas kasihan, yang penting mereka mesti menghisap darah aku.

            Aku sudah biasa dengan pacat dan nyamuk tapi aku tidak membenarkan mereka menghisap darah aku sesuka hatinya jika aku sedar pasti ia akan mati di tangan aku. Dalam keadaan aku sedang cemas, dalam keadaan aku kesejukkan, pacat dan nyamuk sempat mengisi perutnya dengan darah aku dan meninggalkan bekas gigitan pacat yang masih mengalirkan darah dibahagian kaki, perut dan tengkok aku.

            Aku teruskan perjalanan dengan melintasi titi itu dan menaiki bukit dengan jalan yang becak dan licin. Tayar belakang motor berpusing ligat tanpa menggerakkan motor, aku terpaksa menolak dengan kaki supaya motor aku boleh bergerak sedikit demi sedikit mendaki bukit. Jalan raya sudah kelihatan tapi masih jauh lagi, aku berusaha menolak dengan kaki aku untuk cepat sampai di jalan raya.

            Deruan hujan tenggelam dek deruan enjin motor aku yang mengaum dengan kuat, tayar belakangnya berputar laju tapi bergeraknya cuma sedikit itu pun atas bantuan kedua kaki aku. Tubuh aku yang tadinya kesejukkan kini sudah terasa panasnya. Bau hangit dari injin motor mula menyusuk lubang hidung aku.

            Aku cuba sedaya upaya untuk tiba di jalan raya dengan harapan injen motor tidak meragam, cuma beberapa meter saja lagi. Di tepi jalan raya ada 3 buah rumah jika aku mengalami masalah dengan motor boleh juga aku minta bantuan dari penghuninya. Penghuni rumah itu sememangnya sudah mengenali aku jadi tidaklah merasa malu.

            Setelah aku menggunakan seluruh tenaga aku, akhirnya aku sampai juga di tepi jalan raya. Barulah aku merasa lega sedikit tapi perjalan aku masih jauh lagi hampir 30 km dari sini. Aku mesti pulang juga malam ini, isteri dan anak-anak mungkin sedang menunggu di rumah dengan perasaan bimbang.

            Dalam hujan aku bergerak perlahan, lampu motor agak malap sedikit namun aku teruskan juga perjalanan. Air hujan yang mengenai muka amat memedihkan, badan yang tadinya panas sudah mula kesejukkan semula. Jalan raya ini sunyi sepi, di kiri dan kanannya hanya kebun getah, jarang-jarang ada rumah orang.

            Tidak lama kemudian aku tiba di satu persimpangan, di situ banyak rumah-rumah orang yang diterangi oleh cahaya lampu letrik dan jalan raya juga tidak sunyi kerana ada kenderaan yang menggunakan jalan ini walau pun jarang-jarang sekali aku berselisih dengan kenderaan lain, namun aku merasa lega kerana aku tidak bersendirian.

            "Kenapa malam ni tak ada kereta lalu…? Hujan agaknya…" Aku bertanya pada diri sendiri dan aku juga yang menjawabnya.

            Sebenarnya ini bukanlah pertama kali aku pulang pada waktu malam tapi sudah beberapa kali, cuma malam ini sahaja aku pulang malam dalam hujan lebat. Biasanya aku pulang sekitar pukul 6.30 petang cuma kadang-kadang aku terlewat sedikit, biasalah, jika awal aku datang, awallah aku pulang.

            Seingat aku hampir sebulan aku berulang-alik dari rumah ke pondok itu, ini adalah kali 5 aku pulang malam dan kali pertama pulang malam dalam keadaan hujan lebat. Dalam keadaan begini aku berharap motor aku tidak meragam injennya, tidak bocor tayarnya. Aku rela basah kuyup, aku, aku sanggup menahan kesejukkan asalkan aku selamat sampai ke rumah.

            Keadaan jalan yang bengkang-bengkok membuatkan aku sentiasa berhati-hati, bimbang kalau-kalau ada pokok tumbang yang menghalang jalan raya. Bimbang jika ada babi hutan melintas jalan yang tidak sempat aku elak. Aku juga risau dalam hujan begini ada gajah melintasi jalan raya tapi aku berdoa agar tidak dipertemukan dengan itu semua.

            Hampir separuh perjalanan, aku mula melihat cahaya kenderaan dari arah belakang menerangi malam. Aku terus memandu dengan perlahan tapi kali ini aku kena ketepi sedikit, bimbang dilanggar oleh kenderaan yang sedang aku lihat cahaya lampunya. Sebaik sahaja kereta itu melintasi aku, tiba-tiba pandangan aku menjadi gelap, motor aku jadi terhuyung-hayang seketika tapi dapat dikawal semula.

            Hujan masih lebat, bunyi guruh sahut menyahut, sekali-sekala kilat sabung menyabung, pancarannya menerangi jalan raya buat seketika. Aku terus memandu motor aku dalam keadaan kesejukkan, tubuh makin kuat menggigil. Aku sentiasa meletakkan kaki aku di atas injen motor, dengan cara itu kesejukkan badan dapat dikurangkan.

            Kini aku sudah memasuki kawasan kampung, aku menggunakan jalan kecil kerana jalan ini adalah jalan pintas untuk sampai ke tanah rancangan. Jalan kampung ini agak sempit sedikit, jika 2 buah kereta berselisih maka salah satu kena berhenti untuk memberi laluan. Jalan ini juga agak gelap dan sunyi, tambah lagi di waktu malam dan hujan, sudah tentu tidak ada orang yang menggunakan jalan ini.

            Jalan ini kerap digunakan oleh penduduk tanah rancangan pada waktu siang untuk ke pekan kecil berhampiran kampung ini. Jalan ini juga sering ada gangguan makhluk halus, itu menurut cerita-cerita orang tanah rancangan, benar atau tidak Waullahhualam. Benar atau tidak aku sudah mula rasa takut.

            "Silap aku masuk jalan ini, kalau ikut jalan tanah rancangan kan bagus", Bisik hati aku dengan seribu sesalan.

            Diwaktu malam begini jalan kampung ini terlalu sunyi tambahan pula hujan, tentu tidak ada orang yang melalui jalan ini. Rumah-rumah kampung sudah aku lalui, kini aku berdepan dengan jalan sempit dan dikiri-kanannya adalah belukar, kebun getah yang semak tidak dijaga. Aku tabahkan hati dan berdoa agar tidak bertemu dengan apa yang telah diceritakan oleh orang.

            Aku pandu motor aku dengan perlahan, cahaya dari lampu motor yang kekuningan membuatkan penglihatan aku menjadi kurang jelas, ditambah lagi dengan titisan hujan yang memasuki mata aku. Aku mengusap muka beberapa kali bagi mengelak air hujan terus memasuki mata aku.

            "Eh kenapa ni?", Kata hati aku setelah merasakan motor aku menjadi gelong-gelong.

            Aku terpaksa berhenti di tengah jalan yang sunyi dan melihat apa sudah jadi dengan motor aku, mungkin tayarnya bocor. Aku meraba tayar belakang dan memicik, sahlah tayar belakang sudah tidak ada angin lagi. Terpaksalah aku berjalan kaki dengan menuntun motor dalam keadaan injennya masih hidup untuk mendapatkan cahaya lampu. Aku gunakan gear satu supaya senang aku bergerak. Hujan masih belum reda, tubuh yang tadinya menggigil kesejukkan kini mula terasa panas.

Cahaya kilat yang menyambar bumi dan guroh seperti halilintar membuatkan aku berjalan lebih cepat. Sekali-sekala aku menoleh kebelakang, bimbang kalau ada yang mengekori aku dan yang paling aku risaukan ialah jika ada yang menumpang duduk di motor aku. Bermacam-macam yang bermain difikiran aku, mana tahu dalam hujan lebat, hari pun sudah malam, entah pukul berapa sekarang. Aku bertambah cemas dan bertambah takut.

            Bila aku sampai disatu selekoh tepian sungai, tiba-tiba bulu tengkuk aku meremang. Aku menoleh kanan dan kiri serta tidak lupa juga menoleh kebelakang walau pun aku tahu dimalam begini pandangan aku terhad. Bila aku memandang semula kehadapan, aku terlihat kelibat orang berlari pantas secepat kilat melintasi jalan serta melintasi lampu motor yang tidak berapa terang.

            Aku terpaku seketika, aku suloh menggunakan lampu motor dengan memusingkan handle kearah belukar di tepi sungai. Aku kuatkan injen motor supaya lampu menjadi terang sedikit. Aku masih berdiri di situ, kaki aku terasa berat untuk melangkah pergi. Tidak ada apa yang dapat aku lihat melainkan semak samun.
  
            Mungkin cuma perasaan aku sahaja, maklumlah dalam keadaan takut macam-macam yang aku fikirkan. Aku teruskan perjalanan sambil menuntun motor,  kali ini agak cepat aku berjalan. Mata aku liar memandang kiri dan kanan tak lupa juga belakang, mana tahu tiba-tiba dia terconggok atas motor aku?

            Aku berlari-lari anak untuk melepasi kawasan sunyi dengan cepat, enttah mengapa tidak ada seorang pun yang lalu ketika ini, mungkin hujan agaknya. Aku rasa malam masih awal lagi tapi entah pukul berapa. Kini aku rasa lega sedikit kerana aku dapat melepasi kawasan sunyi walau pun aku agak penat sedikit.

            Tiba di kawasan penempatan pegawai, aku tambah lega kerana rumah-rumah pegawai diterangi dengan lampu elektrik yang menggunakan genarator. Lampu nion yang malap di jalan besar tidak bertar membuatkan aku hilang rasa takut tapi tidak sepanjang jalan cuma ada tiga batang tiang dan satu sahaja yang menyala.
            Selepas itu aku bergelap semula kerana kawasan penempatan rumah pegawai cuma enam buah sahaja. Lampu nion telah aku tinggalkan,  kini aku cuma mengharapkan lampu motor aku yang malap untuk mengelakkan lecah di jalan. Satu lagi kawasan yang membuat aku risau untuk melintasinya. Aku percaya kawasan seperti itu bukan aku seorang sahaja yang takut.

            Aku tiba di kawasan perkuburan, walau pun masih baru tapi sudah ada penghuninya, tak sampai seminggu lagi penghuni itu disemadikan. Aku berhenti seketika  bila aku menghampiri kawasan perkuburan itu untuk berfikir sejenak apa yang perlu aku lakukan. Kalau tidak kerana aku menuntun motor ini pastinya aku akan berlari untuk melintasi kawasan kubur yang berada didepanaku sekarang.

            Aku mendapat satu idea, sebenarnya aku boleh berlari sambil menuntun motor aku dengan cara memasukkan gear 2. Dengan lafas bismilah aku memulakan genggaman pada handle motor, kini aku sudah bersedia untuk berlari seperti pelari pecut layaknya. Belum pun bermula, tengkuk aku sudah meremang kerana terbayang jika ada yang mengejar aku kelak atau dia terconggok di depan.

            "Ah pedulikan", bisik hati kecil aku, apa pun terjadi aku mesti melintasi kawasan itu, aku mesti sampai ke rumah cepat. Sedang aku berfikir tiba-tiba dentuman guruh memeranjatkan aku, dengan tidak sengaja aku terpulas minyak motor dan dengan pantas juga aku berlari seiring dengan motor. Aku rasa lega kerana dapat melepasi kawasan kubur dengan pantas walau pun aku kepenatan yang amat sangat kerana mendaki bukit.

            Badan aku berpeluh walau pun dalam hujan, nafas aku menjadi kencang. Aku berhenti seketika untuk memulihkan tenaga yang telah hilang. Rumah-rumah peserta sudah kelihatan tapi cahaya lampu agak suram kerana menggunakan pelita minyak tanah. Penghuninya mungkin sedang berehat atau mungkin juga ada yang sudah tidur dibuai mimpi, hanya aku sahaja yang masih di jalanan bermain dengan hujan.

            Setelah tenaga aku pulih, aku berjalan semula sambil menuntun motor tapi kali ini aku berjalan menaiki bukit. Enjen motor masih hidup dalam gear satu, minyak ku pulas perlahan agar aku dapat berjalan seiring dengan motor. Hujan belum reda, sekali-sekala kilat menyambar bumi di iringi guroh kadang kuat kadang perlahan. Aku tidak kedinginan malahan tubuh ku terasa panas, tenaga pun sudah berkurangan.

            Aku tabahkan hati walau pun kaki ku sudah terasa sakit dan lengoh-lengoh. Rumah ku sudah semakin hampir kerana aku sudah menghampiri masjid. Itulah masjid di tempat aku yang masih serba kekurangan, tidak ada hamparan permaidani yang indah, sejadah masih tidak mencukupi walau pun ada lampu letrik yang bersambung dari rumah pegawai.

            Aku terus berjalan dengan melintasi masjid itu dan deretan rumah-rumah peserta tanah rancangan yang sepi seperti tidak berpenghuni. Deruan hujan seperti menutupi pendengaran mereka, tanpa mereka sedari bunyi injen motor aku yang melintasi rumah mereka. Aku dan mereka masih baru disini, aku dan mereka masih belum mesra, aku dan mereka hanya tersenyum bila bertemu. Tibanya aku di satu selekoh, aku akan menuruni bukit pula, nasib baik break tangan masih berfungsi jika tidak tentulah sukar bagi aku. Lampu motor menjadi malap sedikit kerana aku perlahankan injennya. Dari cahaya kilat yang memancar dapat membantu aku untuk melihat lubang-lubang di jalan.

            Hati aku mula rasa gembira kerana aku sudah menghampiri rumah ku, tentunya isteri aku juga akan gembira dengan kepulangan aku. Anak-anak tentunya sudah tidur lena, selalunya mereka tidur awal setiap malam lebih-lebih lagi bila hujan begini. Aku tahu, isteri aku tentunya merasa takut bila hujan beserta guruh yang kuat, ditambah pula dengan kilat sabung menyabung seperti ingin membelah bumi.

            Apakan daya, ini bukan kehendak aku untuk pulang lambat, aku harap isteri ku dapat kuatkan semangat dan bersabar dengan ujian ini. Aku membelok ke kanan dan menaiki bukit semula dan di situlah rumah ku. Tiba di halaman rumah, aku terus menolak motor aku kebahagian belakang rumah.

Malam itu aku merasakan kedinginan yang amat sangat, tubuh aku menggigil seperti demam malaria. Isteri aku menghulurkan secawan kopi panas untuk meredakan kesejukan. Anak-anak aku sudah lena dibuai mimpi, entah apa yang dimimpikannya.

            Di luar hujan masih belum reda, sesekali kedengaran dentuman guroh yang mengejutkan tidur anak-anak aku. Aku cuma tersenyum melihat gelagat anak sulong aku yang ketakutan dengan menutup telinganya dengan bantal. Anak kedua aku tidur nyenyak seperti tidak ada apa-apa berlaku begitu juga dengan anak yang ketiga,yang keempat pula lena dalam dakapan ibunya.

            Setelah menghabiskan secawan kopi, aku baringkan tubuh disisi isteri aku, kehangatan mula terasa, tubuh aku yang tadinya menggigil kesejukkan kini semakin reda, digantikan kesakitan seluruh tubuh. Kaki aku pun mula terasa kelenguhannya terutama di bahagian tumit dan lutut aku. Tangan aku dibahagian bahu juga terasa sakit, aku memicit-micit bahu kiri dan kanan untuk menghilangkan rasa lengguh.

            Deruan hujan masih kedengaran seolah-olah tidak mahu berhenti, pastinya esok tidak ada peluang untuk aku pergi menoreh petang. Bulan puasa sudah semakin hampir, pastinya hari raya akan menjelma jua. Persiapan untuk bulan ramadhan perlu disediakan, anak-anak aku suka juadah berbuka puasa. Tahun ini nampaknya susah juga menyambut hari raya, hendak beli baju baru untuk aku sendiri rasanya hampa, untuk isteri dan anak-anak akan aku usahakan. Tahun lepas aku dapat sediakan baju raya untuk anak dan isteri tapi duit raya tidak dapat aku sediakan.

            Hari raya adalah hari yang paling gembira buat anak-anak yang belum mengerti erti kehidupan. Samalah seperti aku semasa kecil dahulu, masa itu aku teringin hendak memakai pakaian baju melayu siap bersamping dengan kain songkit tapi tidak kesampaian kerana ibu dan bapa aku tidak mampu hendak menyediakan pakaian seperti itu. Ketika itu aku masih bersekolah darjah 5 lagi.

            Ketika aku darjah 6, aku merasa juga berpakaian melayu pada hari raya puasa tapi tidak bersamping dengan kain songkit cuma bersamping dengan kain pelikat bapa aku. Baju melayu aku, ibu sediakan dengan menjahit sendiri di rumah dengan menggunakan mesin jahit lama yang dipusing menggunakan tangan. Itulah baju raya aku untuk 4 kali raya dalam 2 tahun. Aku sangat kagum bila melihat mereka yang memakai pakaian melayu bila tiba hari raya, siap bersamping dan bersongkok, tambah segak bila berkasut kulit. Zaman aku dahulu cuma berselipar jepun sahaja. Itulah yang termampu disediakan oleh ibu dan bapa aku kerana kehidupan aku sekeluarga dalam kesusahan.

            Zaman aku kecil dahulu, makanan juga sukar diperolehi, bukan kerana tidak ada makanan tapi kerana tidak ada duit untuk membelinya. Bulan puasa adalah bulan yang paling gembira buat aku kerana setiap kali tiba bulan puasa, ibu akan menyediakan berbagai jenis kueh untuk berbuka puasa, dengan syarat, aku mesti berpuasa, jika didapati aku tidak berpuasa, jangan harap aku boleh makan bersama. Aku diarahkan supaya duduk di luar ketika ibu dan bapa aku berbuka.

            Aku pernah mencuri makan ketika aku berpuasa tapi dilihat oleh nenek. Aku tidak sedar nenek memerhatikan aku ketika aku sedang makan kueh yang tak habis semalam di belakang rumah. Nenek membiarkan aku menghabiskan kueh yang sedang aku makan. Selepas itu, tiba-tiba sahaja nenek datang dengan membawa satu jag air lalu dihulurkan kepada aku.

            "Nah, minum bagi habis", suara nenek dengan garang sekali.

Aku terpinga-pinga bercampur ketakutan tapi masih diam membisu. Nenek segera mengambil ranting kayu dan mengarahkan aku supaya menghabiskan satu jag air. Aku hanya mampu minum setengah jag sahaja, itu pun perut aku sudah sakit kerana terlalu banyak minum air. Bakinya aku tuang ke tanah, nenek tambah berang lalu memukul aku berkali-kali dengan ranting kayu ditangannya. Aku menjerit meminta ampun dan berjanji tak buat lagi. Ibu dan bapa aku cuma melihat sahaja hukuman yang dikenakan kepada aku. Selepas peristiwa itu aku tidak berani lagi mencuri-curi makan dibulan puasa. Ketika mereka berbuka puasa, aku duduk di luar menunggu kalau-kalau ada kueh lebih.

            Begitulah aku di zaman kanak-kanak yang membuat aku tersenyum bila teringat kembali peristiwa itu dan akan menjadi kenangan buat aku sepanjang hayat. Akan aku jaga anak-anak aku dengan baik, yang terdaya oleh ku. Tapi, dengan keadaan kehidupan aku yang begini, mampukah aku menyediakan segala keperluan mereka? Inilah yang sedang bermain difikiran aku, dengan keadaan aku yang serba kekurangan. Aku tidak mempunyai pekerjaan tetap, harta jauh sekali, namun aku hanya bersandarkan impian di tanah rancangan ini. Impian yang suatu hari nanti keadaan hidup aku sekeluarga akan menjadi lebih baik dari sekarang. Impian yang masih jauh di hadapan.

            Menurut cerita orang, jika kita berbakti di tanah rancangan, hidup kita akan senang kemudian hari. Kemudian hari? Kemudian hari itu mungkin hari tua aku atau mungkin untuk anak cucu aku? Jika umur aku masih ada, sempatlah aku merasai kesenangan yang diimpikan. Jika roh dan jasad aku terpisah sebelum aku sempat merasai kesenangan itu, ternyatalah impian itu untuk anak cucu aku.

            "Kalau kamu masuk tanah rancangan tu, hidup kamu akan senang," kata kawan aku.
            "Kamu dapat 10 ekar tanah dan sebuah rumah," tambah kawan aku lagi.
           
            Itulah yang aku harapkan dan itu jugalah yang menjadi impian aku, kerana aku tidak mempunyai rumah sendiri, tanah untuk dijadikan sumber pendapatan bagi menyara isteri dan anak-anak aku, yang ada cuma tulang empat kerat sahaja, itu pun jika aku masih sihat dan aku sentiasa mengharapkan agar aku sihat. Aku masih baru di sini, baru setahun lebih, masih jauh lagi untuk mencapai impian itu.

            Hujan masih belum berhenti, entah pukul berapa sekarang, mata aku masih belum mahu tidur lagi. Seluruh badan aku mula terasa sakit-sakit, betis aku terasa lenguh-lenguh akibat berjalan kaki tadi. Aku mengalihkan tubuh ke kanan dalam keadaan mengiring di atas tikar buruk yang sudah koyak dibucunya. Aku mencapai jam meja kecil di tepi dinding. Aku lihat jarum jam hampir menunjukkan ke pukul 2 pagi.

            Aku letakkan semula jam itu di tempatnya, kemudian aku mengalihkan tubuhku dalam keadaan terlentang semula, tangan kiri aku letakkan di dahi. Esok aku kena bangun awal, andainya aku terlambat untuk roll call, aku tidak boleh bekerja hari itu dan gaji untuk hari itu juga tidak ada. Semua peserta tanah rancangan dibayar RM7.00 sehari, dari jam 6.00 pagi hingga jam 1.30 tengah hari. Selepas makan tengah hari, aku akan ke kebun untuk menoreh sebelah petang. Tapi esok petang mungkin tidak ada peluang bagi aku kerana hujan masih belum berhenti sejak dari petang tadi lagi. Inilah yang merunsingkan fikiran aku, yang menyebabkan aku tidak boleh tidur.

            Isteri dan anak-anak aku sudah berada di alam mimpi, mereka sudah lama tidur lena seperti tidak ada apa yang perlu difikirkan walau pun beralaskan tikar buruk, bantal yang sudah koyak sarungnya di sana-sini. Aku mengalihkan tubuhku ke kanan semula sambil menarik selimut untuk menutupi tubuhku yang mula kesejukkan. Entah mengapa mata aku ini susah hendak tidur malam ini. Entah mengapa fikiran aku jauh melayang, memikirkan masa lampau yang sepatutnya tidak hadir lagi. Aku pejamkan mata, dengan harapan akan terlena sebelum siang menjelma. Deruan hujan masih kedengaran ditelingaku, sekali-sekala kedengaran dentuman guroh.

            Aku mengalihkan badan aku dalam keadaan terlentang semula sambil memejamkan mata untuk meluruskan kaki aku yang kian lenguh. Rasa lega sedikit bila dapat meluruskan kaki, lenguh betis pun rasa berkurangan, kalau ada minyak angin boleh juga aku sapu pada betis aku.

            "Wahai mata, kenapa tidak mahu tidur", aku mengeluh.

            Mungkin malam ini aku akan berjaga lagi seperti malam tiga hari yang lepas, aku berjaga hingga siang hari. Boleh dikatakan kerap terjadi tidak boleh tidur seperti malam ini. Adakah ini satu penyakit? Mungkin ya, mungkin tidak, aku pun tidak pasti. Yang aku tahu, ketika fikiran aku terlalu memikirkan sesuatu, yang aku tidak pernah menjemputnya. Risau, runsing, datang secara tiba-tiba.


Akan disambung...

Friday, March 14, 2014

Khasiat Durian Belanda



Khasiat Yang Tidak Diketahui Dalam Durian Belanda
Jika disebut durian, maka akan terbayang di fikiran kita buah yang kulitnya berduri, isinya berwarna kuning, rasanya manis berlemak dan berbau kuat. Durian sangat digemari ramai, malah ada yang sanggup berhabis duit untuk mendapatkan durian terbaik. Itulah penangan si raja buah. Bagaimana pula dengan durian belanda? Ramaikah yang menggemarinya seperti durian?

Durian belanda dan durian adalah dua jenis buah yang berbeza dari semua sudut. Walaupun disebut durian, namun duri yang ada pada buah durian balanda tidaklah seperti duri buah durian. Saiznya juga lebih kecil dan kulitnya lembut, apatah lagi rasanya. Berbanding durian, durian belanda mempunyai nilai-nilai khasiat yang tidak ada langsung pada durian. Buah ini juga tergolong dalam kategori buah eksotik, dipercayai berasal hutan amazon. Ia boleh didapati di negara Amerika Selatan dan juga Asia Tenggara seperti Malaysia dan Indonesia.
Apakah khasiat yang terkandung di dalam buah yang radanya masam-masam manis ini? Kajian oleh Universiti Hawai dan Universiti Purdue mendapati durian belanda mempunyai unsur anti kengser yang sangat tinggi, selain anti bakteria, anti fungus, berkesan melawan pelbagai jenis parasit dan cacing, menurunkan tekanan darah tinggi, anti kemurungan dan menormalkan sistem saraf dalam tubuh yang kurang baik.


Buah ini mengandungi bahan amyloid, asid sitrik, fruktosa, mangnese, sukrosa, reticuline dan tannin. Selain isinya, dikatakan kulit, akar, biji dan daun pokok durian belanda mempunyai khasiat berbeza untuk kegunaan perubatan moden dan tradisional. Tidak sahaja boleh dimakan mentah, isi durian belanda boleh dibuat jus. Manakala daunnya boleh dibuat teh sebagai penawar penyakit kerongkong.
Oleh kerana durian belanda kurang digemari oleh masyarakat kita, maka ia agak sukar didapati. Tetapi akhir-akhir ini, mungkin menyedari yang terkandung di dalamnya, buah ini mula dikomersialkan dengan penghasilan jus durian belanda yang boleh didapati di pasar raya dan juga restoran. Mungkin, jika diamalkan secara berterusan kita turut akan mendapat manfaat kesihatan daripada buah durian belanda.
(Dipetik dari akhbar 1 suara)

Anda tidak perlu menjadi cantik semata-mata untuk disayangi kerana kehebatan anda di ranjang akan menjadikan anda sentiasa 'dirindui' suami anda???  layari www.bio-asli.com/
?=nor165

Beribadah



         
Kerja Sebagai Ibadah
Setiap bidang pekerjaan tenaga kerja atau buruh merupakan sumber yang terpenting. Ia sama penting dengan sumber ekonomi lain seperti; tanah, modal dan keusahawanan. Setia pekerjaan mestilah bekerja dengan penuh etika dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

INFO USAHAWAN



         
USAHAWAN FELDA
Felda menggalakkan warga peneroka untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan melalui penubuhan Skim Insentif Usahawan (SIUF) yang mula diwujudkan pada tahun 2002, dana ini telah ditambah RM50 juta. Pada tahun 2006, dana ini telah ditambah RM50 juta lagi menjadikan keseluruhannya
RM100 juta.
SIUF ditubuhkan untuk membantu peneroka menjalankan pelbagai projek yang dijalankan di dalam rancangan yang antaranya ternakkan, perusahaan, tanaman, akuakultor dan kraf. Matlamat pemberian skim ini adalah untuk menggalakkan warga peneroka menjalankan aktiviti ekonomi bagi menambah pendapatan keluarga dan tidak bergantung pada hadil getah dan sawit sahaja. Selain itu, dengan kemudahan yang disediakan, FELDA dapat melahirkan pengusaha baru dan membantu pengusaha sedia ada menjadi usahawan yang berdaya maju. Melalui penglibatan warga peneroka dalam bidang keusahawan secara tidak langsung dapat merangsang pertumbuhan ekonomi di rancangan.
Mengikut rekod, seramai 372 peneroka daripada 35,310 peneroka FELDA yang menceburi bidang perniagaan mencatat jualan lebih RM1 juta setahun. Baki peneroka yang menjadi usahawan iaitu 766 orang membuat jualan antara RM500,000 hingga RM1 juta, 3,889 usahawan (RM100,000 hingga RM500,000), 7,005 (RM50,000 hingga RM100,000) dan 23,278 (RM50,000 dan ke bawah).
Pada majlis perasmian Karnival Usahawan dan penyampaian anugerah pelajar cemerlang di FELDA Jelai Dua, Wilayah Raja Alias, Pengerusi FELDA! Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, maklumat terbaru itu mendorong FELDA untuk menggalakkan lebih ramai warga peneroka terutama kalangan generasi kedua, kejayaan peneroka dalam bidang perniagaan hingga ada yang bergelar jutawan bukan saja mengubah nasib diri, malah memberi kesan positif terhadap kemajuan Negara.
" Peluang dalam bidang perniagaan ada sekeliling kita. Cuma perlu ada keberanian untuk menceburi perniagaan dari peringkat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hingga akhirnya menembusi pasaran antarabangsa." kata YB Pengerusi FELDA..
FELDA berusaha membantu peneroka yang mahu menceburi bidang perniagaan, selain pelbagai agensi fan intitusi kewangan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA). FELDA menawarkan bantuan yang diberikan dalam bentuk peralatan dan input projek untuk membiayai kos modal. Pembelian peralatan dibuat oleh FELDA mengikut peraturan pembelian sedia ada. Bagi projek yang berjaya, pinjaman yang diberikan boleh dipertimbangkan untuk ditukar kepada geran. Pertimbangan boleh diberi jika peminjam membuat bayaran kembali dengan baik dan dijelaskan separuh (50%) daripada jumlah pinjaman. Kelayakan projek
2.         
diukur berdasarkan kepada pengurusan, pulangan, prestasi dan potensi projek yang dijalankan.
Kaedah atau cara bayaran balik dibuat mengikut jenis projek. Projek dibahagi kepada 4 kategori iaitu tanaman, ternakan, industri hiliran dan perniagaan. Tempoh bayaran balik adalah sehingga 60 bulan.
Warga peneroka yang berminat untuk skim yang ditawarkan ini boleh membuat permohonan dengan menggunakan Borang permohonan Skim Insentif Usahawan FELDA yang boleh didapati di pejabat-pejabat FELDA sama ada pejabat Rancangan, Wilayah atau Ibu Pejabat dan boleh dimuat turun di laman sesawang FELDA. Klik disini.
(Di petik dari majalah peneroka)

Kesihatan


      
Kalsium Panjangkan Umur Wanita
Satu kajian oleh sekumpulan penyelidik di Kanada menunjukkan, perempun yang mengambil kalsium selama 10 tahun memiliki peluang hidup lebih lama sebanyak 22 peratus berbanding dengan mereka yang tidak mengambilnya.